Saturday 15 December 2012

Seni dalam pendidikan

1  Aplikasi seni dalam pendidikan
Seni merupakan sesuatu yang subjektif untuk digambarkan. Seni itu indah dan halus. Seni bukan sahaja diaplikasikan dalam satu bidang tetapi dalam beberapa bidang seperti seni suara, seni tari dan seni lakon. Kesemua seni yang dinyatakan tadi merupakan seni yang memerlukan pergerakan, suara, dan ekspresi dalam melahirkan sesuatu yang indah dari dalam diri kita. Seni juga diaplikasikan dalam pengajaran. Pengajaran memerlukan pemahaman dan pemahaman memerlukan tarikan yang menarik dan kreatif. Seni yang disematkan dalam setiap pengajaran haruslah memberi satu nilai dalam jangka masa yang panjang dan memberi impak yang positif untuk seseorang individu.

“Seni adalah hasil daripada kreatif dan kritis dari pemikiran seseorang manusia yang diolah secara halus dan sederhana”. (Pahlawi Web Al. Mei 2007). Kenyataan tadi mendefinisikan seni sebagai satu pergerakan yang dinamik dan pemikiran logik manusia yang diwujudkan melalui ketekunan dan kehalusan budi yang ditentukan oleh ilmu, moral, dan ketakwaan manusia terhadap sang pencipta. Seni juga merupakan satu disiplin ilmu yang bersama-sama terbentuk dalam mencapai kedewasaan akhlak dan tabiat seseorang muslimseperti jujur, rajin , taqwa serta sabar. Apabila dasar pembelajaran seni ini diterapkan, pembelajaran menjadi lebih lengkap dari pelbagai aspek.

Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen tersebut ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengari. Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan. Tanpa warna kehidupan akan menjadi tidak bermakna. Semestinya, kehidupan akan menjadi bosan dan tidak menarik. Warna juga turut digunakan dalam seni dalam pendidikan iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual. Warna memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan sesebuah kebudayaan, emosi. dan maksud dalam karya seni visual.

Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Irama dapat dinyatakan sebagai rentak yang berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam kehidupan kita seharian, kita semestinya akan menemui pelbagai irama. Sebagai contoh bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di sinki dan sebagainya. Semua ini merupakan irama yang wujud disekeliling kita tanpa kita sedari dan kebanyakan ianya berlaku setiap masa.. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan corak yang berulang dan susunan sekata yang mewujudkan pergerakan.

Kanak-kanak akan mula memahami sesuatu kemahiran yang berbentuk irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat meransang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktviti dengan lebih seronok dan bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktviti seperti melompat sambil mengikut irama muzik.

Irama yang diaplikasikan dalam pengajaran akan menjadikan pelajar banyak melakukan pergerakan dan secara tidak langsung, elemen yang ketiga dipenuhi. Elemen-elemen seni dalam pengajaran ini menjadi satu hubung kait yang kukuh dalam menjadikan pengajaran lebih efektif dan kreatif. Kanak-kanak akan menjadi lebih terdorong untuk memahami sesuatu perkara secara seronok. Kesimpulannya, guru perlu mengambil langkah dalam memanipulasikan elemen seni dalam pengajaran supaya pengajaran mereka akan menjadi lebih berkesan.

Menurut Kenneth M.Lansing ( 1973 ) dalam bukunya Art, Artist dan Art Education menyatakan bahawa aktviti pendidikan seni yang wujud boleh berfungsi sebagai satu cabang komunikasi. Kebolehan guru dalam menyampaikan pengajaran dan menggunakan kaedah yang betul akan dapat memenuhi keperluan. Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Seni Dalam Pendidikan sebenarnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh,bergerak dan berfikir dalam setiap aktviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif.

2   Kepentingan seni dalam pendidikan kepada pendidik

Seni dalam pendidikan adalah untuk membantu perkembangan menyeluruh danseimbang setiap insan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selari denganFalsafah Pendidikan Negara. Seni dalam pendidikan bermatlamat untuk menyediakan guru permulaan sekolah rendah dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengintergrasikan aktiviti Seni Visual, Muzik dan Pergerakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelbagai bidang matapelajaran lain. Melalui aktiviti ini, ianya akan dapat mendorong kanak-kanak menggunakan  imaginasi, ekspresi, inkuiri dan kecerdasan pelbagai. Integrasi seni dalam pendidikan akan mambantu dan memudahkan lagi guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasikan teori-teori pembelajaran dalam proses tersebut terutama di sekolah rendah. Di antara faedah dan kepentingan seni kepada seorang pendidik seperti:

a) Melahirkan guru yang kreatif, inovatif, peka, berpesonalti yang
     berketrampilan dan professional.
Menurut Leonardo da Vinci iaitu seorang seniman, jurutera, anatomis dan saintis menyatakan bahawa dengan penghayatan seni yang betul, ianya akan memotivasikan kita untuk menjadi seorang guru yang kreatif, inovatif, peka,berpesonaliti yang seimbang, berketrampilan dan professional. Guru yang kreatif dan inovatif mampu menarik perhatian atau tumpuan pelajar untuk belajar dengan lebih yakin dan berkesan. Contohnya melalui aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan, guru dapat membantu murid-muridnya melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran dan mendorong kanak-kanak menggunakan imaginasi, eksperesi, inkuiri dan kecerdasan kepada murid-murid dan ini akan lebih menyeronokkan murid-murid tersebut.

b) Membantu guru melaksanakan dengan mudah proses pengajaran dan    
     pembelajaran.
Seni membantu para guru dalam memahami diri dan persekitaran. Aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan memudahkan proses menghubungkait semua benda dalam alam ini. Dengan demikian, seni dapat membantu untuk mengaktifkan proses pembelajaran dan perpindahan pembelajaran.

c) Guru senang mencapai objektif atau  matlamat.
Integrasi seni visual, muzik dan pergerakan dengan pelajaran yang lain membantu dalam mengimbangkan perkembangan otak kiri dan kanan. QuadrantConcept (1991) oleh Hermann menunjukkan perkembangan otak kiri dan kanan,menyatakan bahawa seni membantu pemikiran yang rasional dan intuitif seseorang terutama untuk guru agar mereka dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Justeru itu, dengan pengetahuan tentang keistimewaan seni, guru senang mencapai objektif dan matlamat dalam pengajaran dan pembelajaran.

d) Guru dapat mempelbagaikan  teknik dan strategi dalam pangajaran dan pembelajaran.
Dalam Teori Kecergasan Manusia, Gardner (1983) mengesyorkan bahawa terdapat tujuh jenis kecergasan tetapi kebanyakkan sekolah memberi penekanan kecergasan linguistik dan matematik sahaja.Kecergasan lain mungkin akan hilang.Teori ini menyokong seni perlu diberi peranan yang penting dalam kurikulum, ini kerana manusia memperolehi pengetahuan melalui pelbagai kecergasan dan juga melalui perbagai teknik pengajaran. Oleh itu, guru hendaklah menggunakan pelbagai teknik dan strategi serta kelebihan diri untuk menggalakkan murid mencapai objektif kendiri dalam melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan Seni menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu. Dalam setiap kegiatan seni perkara seperti pemupukan nilai dan pemahaman unsur seni dihubungkaitkan dengan kemahiran asas seni. Cara bekerja yang teratur, cermat dan selamat dalam proses membuat sentiasa ditegaskan

3   Faedah yang diperolehi melalui pembelajaran Seni Dalam Pendidikan  ialah:-
1 Pengalaman optima melalui seni membawa kepada keyakinan diri dan    
     kemahiran belajar.
2) Memperkembangkan kemahiran meneroka, pengalaman dan ekspresi.
3) Menggalakkan pembelajaran seumur hidup secara menyeluruh.
4) Belajar cara belajar-aplikasi informasi secara berkesan.
5) Penghubungkait, gerak hati, celik akal dan kecergasan “Lateral Leaps”

4   Kesimpulan
Secara kesimpulannya, seni dalam pendidikan adalah sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, pengajaran seni dalam pendidikan dapat memupuk minat pelajar serta menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menyeronokkan dan tidak lagi membosankan. Oleh itu, guru harus mengaplikasikan seni dalam pengajaran untuk memastikan penyampaian pengajaran guru tersebut dapat merangsang kearah pembelajaran yang berkesan. Di samping dapat mengalakkan pelajar bergerak aktif ketika proses P&P ini berlangsung kerana tertarik dengan kaedah yang digunakan ini.

6 comments:

  1. Maklumat yang sangat berguna.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih dengan perkongsian ini. GBU

    ReplyDelete
  3. Las Vegas: When Will The Doors Close at Casino?
    No, Las Vegas 구미 출장샵 is 삼척 출장안마 a casino. It's a non-stop fun 서귀포 출장마사지 experience. Wynn Las Vegas, the hotel's 정읍 출장샵 all-suite resort with all-you-can-eat dining, 창원 출장마사지 a

    ReplyDelete