Thursday, 8 November 2012

Pengenalan Pendidikan Seni

           Apa sebenarnya yang dinamai ‘ seni ’ itu sendiri? Terlalu banyak kupasan dan pendefinisian mengenai seni, baik melalui tokoh-tokoh sejagat mahupun tokoh seni tempatan. Baik kupasan berlandaskan estetika semata-mata mahupun pengertian seni yang dapat dikutip melalui kacamata agama.
 Ini melambangkan betapa luasnya kesenian itu sendiri lantaran manusia yang normal secara totalnya amat senang dengan sesuatu yang mempunyai nilai-nilai dan unsur seni. Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan sebagai karya ( sajak, lukisan, muzik dan lain-lain ) yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara tidak langsung mengakui bahawa untuk menghasilkan sesuatu produk seni, bakat, kebolehan dan penghayatan serta pemahaman yang jitu amat penting.
              Kebolehan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berkait rapat di dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. Dipandang daripada sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan kitabnya, Kitab Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu
 ( pengetahuan ) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.
                  Menurut Herbert Read ( buku, The Meaning of Arts ) seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is Expression ). Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam kesenangan ini. Kesimpulannya, biar dari sudut pandangan mana sekalipun, seni merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan estetika dan keindahan. Keindahan yang mampu memukau dan mempersonakan mata dan hati yang menghayatinya dengan segenap pancaindera yang ada.

5 comments:

  1. Tahniah!Satu perkongsian ilmu yang baik.Dengan ini,kita dapat mengenali Pendidikan Seni dengan lebih dalam dan janjut lagi.

    ReplyDelete
  2. Saya akan berusaha menambahkan lebih banyak maklumat untuk berkongi.

    ReplyDelete